Hamka : Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick

Entri kali ini merupakan entri yang pertama ditulis dalam Bahasa Melayu sebagai satu tanda penghormatan kepada sebuah ceritera, Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick karangan Hamka. Jelas sekali, rata-rata yang jatuh cinta akan karya unik ini adalah kerana novel ini mengangkat bahasa Indonesia sebagai sebuah Bahasa yang begitu indah dan puitis dalam menggambarkan perjalanan seorang anak yang sering dirundung malang, Zainuddin sejak dari kecil.


Cinta tulus antara Hayati dan Zainuddin turut terkubur bersama kapal Van Der Wjick.
Sejujurnya, ini adalah kali pertama aku merasakan terbuai indah kata-kata yang ditutur dengan penuh tertib oleh Hamka. Terkadang juga, sedih dan rasa kasihan datang bertali arus mengenangkan nasib Zainuddin yang berbapakan orang Minagkabau dan beribukan orang  Mengkasar. 

Mengambil latar tempat di sekitar Indonesia termasuk, Batipuh, Pandang Panjang, Mengkasar, Surabaya dan beberapa tempat lagi ,terbayang keindahan alam semula jadi yang belum diusik manusia, keindahan yang mampu menenangkan hati yang gundah, keindahan yang kadangkala tampak sepi berbungkuskan kesegaran pokok-pokok nan menghijau, air sungai yang mengalir deras, sawah padi menguning ibarat hamparan emas. 

Di tempat-tempat sebeginilah Zainuddin datang mengadu nasib, bahkan termenung mengenangkan dirinya yang seolah tiada keberuntungan langsung setelah cintanya terhadap bunga mekar di Batipuh, Hayati telah ditolak mentah-mentah oleh kaum kerabat Hayati. Dia dihalau keluar dari Batipuh atas alasan dia tidak berketurunan Minangkabau kerana ibunya orang Mengkasar meskipun bapanya orang asal Minangkabau.

Hamka bukan sahaja pintar mengetengahkan kisah hidup seorang anak muda dari golongon kebanyakan, malahan bijak dalam mengkritik secara halus golongon masyarakat yang terlalu tinggi menyanjung adat dan budaya yang beralaskan agama. Pemikiran konservatif golongan ini turut hanya memberi pengecualian kepada jejaka yang bernama Aziz untuk memperisterikan Hayati kerana dia berduit dan memiliki tanah yang berbidang-bidang. 

Cinta yang luhur dan kasih yang tulus daripada Zainuddin kepada Hayati mendapat tentangan yang hebat daripada keluarga Hayati. Namun itu tidak menghapuskan sisa-sisa harapan Zainuddin untuk meminang Hayati. Hatinya luluh, retak seribu hanya apabila bapa saudara Hayati menolak pinangannya sejurus selepas dia menerima berita ibu angkatnya di Mengkasar, Mak Base telah meninggal dunia. 

Hiduplah dia sebatang kara, ibarat layang-layang putus tali dengan tiada harapan walau sebesar kuman. Dia diibarat sebuah perahu yang hanyut teroleng-oleng dipukul ombak, hanyut mengikut arus tanpa sebarang dahan tempat berpaut. Zainuddin bangkit menjadi seorang pencerita yang masyur melalui buku - bukunya. Dia malahan menjadi seorang yang disegani dan ketika itulah Hayati dan Zainuddin bertemu setelah sekian lama. Mereka nyata sudah berbeza dari yang sebelumya, Hayati sudah bersuamikan orang kaya manakala Zainuddin merupakan seorang penulis yang bukan biasa - biasa. 


Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick hanya mula diceritakan apabila jalan cerita sudah hampir ke penghujungnya yang turut mengorbankan nyawa Hayati untuk pulang ke Batipuh. Penenggelaman kapal itu merupakan satu simbolik yang paling utama dalam penceritaan yang sarat dengan emosi ini kerana ia menandakan kehancuran sebuah cinta suci antara Hayati dan Zainuddin buat kali kedua.Kesengsaraanya untuk kali kedua merupakan satu ujian yang hebat buat dirinya sehingga tidak lagi dia mampu memandang dunia ini dari sudut kebahagiaan. Bahkan, tragedi itu turut mematikan jiwa Zainuddin yang kemudinnya jatuh sakit dan meninggal beberapa tahun kemudian. Kesengsaraan Zainuddin dapat dilihat terjadi pada dua waktu yang cukup berbeza mengikut pada tempohnya.

Sebelum dan selepas tragedi Kapal Van Der Wjick.

Akan aku ke Padang, bagi menjejaki kisah hidup Buya Hamka, penulis yang terulung dan juga ulama yang tersohor di Indonesia. 



Anak lelaki tak boleh dihiraukan panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskipun bagaimana besar gelombang. Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang.

-Hamka-




Comments

Popular Posts